Monday, September 22, 2008

kembalikan saat kegemilangan ISLAM di bulan ramadhan....baca kawan2...naikkn semangat nurani kita!!!

Seluruh umat Islam wajar melihat sejarah kegemilangan umat Islam yang dicapai pada bulan Ramadan dan menjadikan ia pembakar semangat untuk mengulangi kembali kejayaan itu dalam apa jua bidang atau tugas yang dilakukan.
Antara sejarah kejayaan umat Islam yang dicatat pada bulan Ramadan ialah kejayaan tentera Islam mengalahkan tentera kafir dalam Perang Badar.Peperangan itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, di satu tempat kawasan lembah dekat kota Madinah yang dikenali Badar.
Peperangan itu berlaku disebabkan hasutan kaum Yahudi yang tidak senang melihat kejayaan Rasulullah mentadbir masyarakat Madinah dengan aman serta semakin banyak yang memeluk agama Islam biarpun baru dua tahun berlaku Hijrah.Kaum Yahudi di Madinah mengambil kesempatan persiapan perang yang dilakukan oleh kafir Quraisy Makkah, lalu mengapi-apikan agar serangan itu disegerakan.
Kedudukan kaum Muslim ketika itu belum betul-betul kuat.Bilangan kaum Muslim belum banyak dan peralatan perang yang dimiliki amat kurang berbanding yang digunakan oleh musuh.Tambahan pula, Rasulullah seboleh-bolehnya ingin mengelak daripada berlaku peperangan kerana berpendapat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan perlu lebih diutamakan dalam usaha melakukan dakwah.
Namun, merasakan itulah satu-satu cara untuk mempertahankan kedudukan kaum Muslim, dan turunnya wahyu agar berperang (sedangkan peperangan bukan perkara yang diingini), maka Rasulullah menyiapkan satu angkatan perang yang disertai oleh 300 orang tentera.Kekuatan itu jauh lebih kecil berbanding kekuatan tentera musuh seramai 1,000 orang.Ini bererti seorang tentera Muslim berdepan dengan tiga orang musuh.Namun atas kekuatan semangat dan jihad mempertahankan keselamatan seluruh kaum Muslim, dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh tentera Muslim.
Pada tahun Kelapan Hijrah pula tercatat kejayaan kaum Muslim membebaskan kota Makkah daripada kekuasaan kafir Quraisy.Tanggal 18 Ramadan tahun itu, Rasulullah bersama-sama 12,000 kaum Muslim bertolak dari Madinah ke kota Makkah untuk membebaskan Makkah.
Pembebasan kota Makkah atau lebih terkenal disebut Futuh Makkah menandakan satu era baru dalam sejarah perkembangan Islam.Kalau sebelum itu hanya kota Madinah yang menjadi pusat pengembangan Islam, penguasaan terhadap Makkah yang menjadi kiblat (iaitu Kaabah) untuk seluruh umat Islam, menambahkan kekuatan syiar Islam.
Sebelum Makkah dikuasai kaum Muslim, kafir Quraisy di Makkah sentiasa merancang memerangi kaum Muslim di Madinah, termasuk mengepung penduduk Madinah selama berminggu-minggu dalam Perang Ahzab.
Mengikut catatan sejarah, selain sikap berterusan kafir Quraisy memusuhi Islam, tindakan Rasulullah ingin menguasai Makkah disebabkan kafir Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiah yang antara lain kandungannya melarang berlaku serangan ke atas mana-mana pihak atau ke atas pihak -pihak yang mengadakan perjanjian dengan mereka.
Kafir Quraisy melanggar perjanjian itu apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani Khuzzah yang berada dalam naungan Islam.Serangan Bani Bakr dibantu pihak Quraisy sehingga menyebabkan banyak orang dari Bani Khuzzah terbunuh.
Tindakan kafir Quraisy menimbulkan kemarahan kaum Muslim dan sekaligus mengambil tindakan memerangi kafir Quraisy di kota Makkah.Kafir Quraisy yang sedar kesalahan dilakukan mereka mencabuli perjanjian itu telah menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Rasulullah untuk memohon maaf, namun ia ditolak.
Apabila Rasulullah bersama-sama bala tentera berada berhampiran kota Makkah, kafir Quraisy yang sedar mereka tidak mampu menandingi kekuatan tentera Muslim tidak melakukan sebarang penentangan, bahkan menyerahkan nasib mereka kepada Rasulullah.Tentera Muslim berjaya memasuki kota Makkah dengan aman biarpun terdapat sedikit pertempuran.
Sempena pembukaan kota Makkah, Allah berfirman yang bermaksud: "Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang dangan sebabnya Allah Allah mengampunkan salah silapmu yang lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengambangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukum).Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada tolok bandingannya)." (Sudah al-Fath, ayat 1 hingga 3)
Pada Ramadan juga berlakunya peristiwa kejayaan tentera Islam menguasai Andalusia (Sepanyol).Peristiwa yang juga dikenali Futuh Andalusia itu berlaku pada tahun ke 91 Hijrah.Kaum Muslim di bawah pimpinan Thariq bin Ziad telah berhasil meluaskan penguasaan umat Islam yang sebelum itu telah menguasai kawasan utara Afrika.
Penguasa Islam ketika itu, Musa bin Nushair memerinthkan Thariq bersama-sama 7,000 orang tentera Muslim menyerang Andulusia setelah permintaan untuk mengembangkan agama Islam di situ ditolak.Bermula dengan menaiki kapal menyeberang Teluk Gibraltar, setelah mendarat di Andalusia, Thariq telah memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh bersemangat bagi menaikkan semangat tentera Islam.
Ucap Thariq: "Musuh di hadapan kamu.Apabila kamu berundur, lautan di belakang kamu.Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatan berjuang di jalan Allah atau mati ditelah lautan."
Ucapan Thariq itu berjaya membakar semangat tentera Muslim untuk berjuang bermati-matian sambil mengharapkan pertolongan Allah.Para tentera menyahut seruan Thariq itu dengan berkata: "Kita datang ke sini, tidak untuk kembali lagi.Kita berada di sini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada kita menakluki negeri ini, menetap di sini dan menyebarkan Islam atau kita semua akan binasa."
Semangat jitu itu membolehkan tentera Islam menawan satu demi satu kota atau kedudukan tentera Andalusia sehingga akhirnya keseluruhan kerajaan Andalusia yang mempunyai lebih 100,000 orang tentera berjaya dikuasai tentera Islam yang hanya berjumlah 12,000 orang (tambahan 5,000 orang daripada jumlah kumpulan pertama seramai 7,000 orang) pada bulan Ramadan tahun 91 Hijrah.
Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu dan mercu peradaban manusia di benua Eropah.Selain itu, pada bulan Ramadan juga tentera Islam berjaya menguasai daerah Ghaal di Perancis atau kini dikenali Pays des Gualles.
Seterusnya, Ramadan tahun 584 Hijrah turut mencatatkan kejayaan cemerlang umat Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya mengalahkan tentera Salib.Dengan kemenangan itu, kota Baitulmaqdis dan bumi Palestin kembali kepada pangkuan umat Islam.
Berdasarkan sejarah besar yang berlaku pada bulan Ramadan itu, wajar sekali umat Islam menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai pemangkin untuk mencipta kejayaan dalam hidup sendiri, untuk keluarga, agama, bangsa dan negara.
Semangat jitu yang terbina hasil didikan melaksanakan puasa perlu disalurkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan usaha secara bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan cemerlang.Amalan puasa yang biasanya dikaitkan dengan rasa lapar dan letih perlu diubah kepada terbentuknya semangat yang lebih hebat berbanding hari-hari biasa. Jiwa yang berjaya mengatasi hasutan syaitan akan memiliki kekuatan untuk menangkis segala ancaman negatif lain yang sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan diri.

No comments: